Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

YADIM turun padang santuni masyarakat di Pahang, Kelantan dan Sarawak

Alhamdulillah, pada 23 Januari YADIM Sarawak, YADIM Pahang dan YADIM Kelantan telah turun padang menyantuni mereka yang memerlukan.

Bertempat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Putik di Pengkalan Chepa, YADIM Kelantan dan rakan rakan NGO telah menyumbang makanan, surah Yassin, buku zikir, buku doa harian serta sejadah, telekong dan kain pelikat selain peralatan mandi.

Untuk kanak kanak pula, disumbangkan alatan permainan dan mewarna serta buku bacaan agar mereka dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.

YADIM Sarawak pula diundang menjayakan program bantuan pasca banjir di Kampung Budi, Bau. Barangan untuk program ini ditaja oleh Yayasan Ikhlas, Aman Palestin dan Yayasan Maghfirah serta orang ramai.

YADIM menaja pengangkutan dan menghantar sukarelawan bagi program ini.

Di Pekan pula, YADIM Pahang menyertai rakan rakan NGO untuk membersihkan Masjid Kampung Acheh. Antara rakan NGO tersebut ialah Geng Ustaz, Syabab Care, Abrar Care, Rahmat Care dan URZ Care.

Secara keseluruhan, lebih RM7,500 diperuntukkan untuk program program menyantuni rakyat hari ini.