Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

YADIM lancar ‘Wake Up 4 Aqsa’ tanda solidariti bersama Palestin

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melancarkan Program ‘Wake Up 4 Aqsa’ semalam, bertujuan membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia serta menunjukkan solidariti kepada penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, ketika melancarkan inisiatif itu, berkata kekejaman yang dilakukan rejim Israel dalam tempoh seminggu ini sangat zalim dan ia bukanlah perkara baharu, bahkan sudah berlarutan lebih tujuh dekad.

“Sepanjang tempoh itu, jutaan penduduk Palestin terkorban, kehilangan tempat tinggal dan harta benda. Lebih menyedihkan dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia serta seluruh dunia apabila Masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam diceroboh dan diperlakukan dengan perbuatan biadap.

“Sesungguhnya kezaliman yang berpanjangan ini bukan lagi menjadi konflik antara agama, namun sudah lama menjadi jenayah kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan YADIM, hari ini.

Sementara itu YADIM berpendirian, komuniti antarabangsa terutamanya dalam kalangan negara Arab perlu segera mengambil apa juga langkah yang konstruktif bagi menghentikan episod penderitaan penduduk Palestin.

“Sebagai sebuah yayasan dakwah, YADIM akan menggerakkan segala usaha untuk menyuburkan kefahaman, menyegarkan aspirasi idealisme, menyebarkan mesej perjuangan dan mengangkat naratif akidah serta kemanusiaan dalam isu Palestin ini.

“Bagi merealisasikan program ini, YADIM akan bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jaringan akademik dan tokoh perseorangan dalam kempen jangka sederhana dan panjang.

“Ia agar isu Palestin akan sentiasa relevan dan tersemat dalam hati nurani rakyat Malaysia yang cinta kedamaian. Pelbagai program dan inisiatif akan diadakan selepas ini seperti gerakan mengutip dana bagi membantu misi kemanusiaan dan pembinaan semula fasiliti di Palestin terutama di Semenanjung Gaza,” kata yayasan itu.

Katanya, YADIM turut mensasarkan kutipan berjumlah RM100,000 untuk disalurkan melalui inisatif ‘Aid4APalestine’ yang dilancarkan pada Sabtu lalu, selain berharap semua lapisan masyarakat, tanpa mengira sempadan agama dan bangsa akan bersama-sama membantu menjayakan usaha itu.