Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Warga emas positif Covid-19 bunuh diri kerana murung

Seorang warga emas ditemui mati di rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan semalam selepas dipercayai bunuh diri akibat kemurungan dijangkiti Covid-19.

Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Serdang Mohd Akmalrizal Radzi, mangsa berusia 66 tahun itu membuat dua ujian saringan Covid-19 pada 7 serta 18 Januari dan kedua-duanya didapati positif.

“Mangsa pada 22 Jan telah mengajak isterinya pergi ke Public Bank untuk pindahkan wang sebanyak RM40,000 untuk tujuan rawatan Covid-19 mangsa.

“Menurut isteri, mangsa sering mengadu kesakitan dan berada dalam keadaan murung apabila disahkan positif Covid-19.

“Mangsa juga sering mengatakan kepada isterinya lebih baik mati daripada sakit seperti ini,” kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mohd Akmalrizal berkata, siasatan awal di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan dipercayai telah membunuh diri.

Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sehingga menunggu laporan lanjut.