Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

UAD seru bentuk diri ke arah akhirat

Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, kebanyakan orang menggambarkan bahawa orang yang berjaya itu mempunyai rumah besar, berkereta mewah dan seterusnya memiliki dunia.

Menurutnya, kejayaan hidup ini ialah apabila kita berjaya memfokuskan diri kita ke akhirat dan itu cara ALLAH SWT menjadikan demikian (kejayaan).

“Antara perkara yang melalaikan hidup kita ini ialah harta benda dan anak-pinak. Anak-pinak mengajar kita supaya kita tidak menjadi soleh dan tidak baik, kita terpengaruh dengan adik-beradik dan jiran.

“Harta benda pula menyebabkan kita tidak bersedekah dalam hidup kita ini. Apabila kita terlampau sibuk dalam mengejar harta, kedudukan, pangkat dan pingat, kita terbuai-buai dengan harta benda tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Siri 28 bertajuk Sedekah: Andai Aku Tahu yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian semalam.

Wacana itu turut menampilkan aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi, manakala Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator serta qari, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang mengalunkan bacaan surah Al Munafiqun.

Ahmad Dusuki berkata, solat merupakan hubungan manusia dengan ALLAH SWT, manakala sedekah ini adalah hubungan manusia dengan manusia dan makhluk di atas muka bumi.

“Kita kena faham, harta benda yang kita ada sebenarnya ALLAH SWT bagi bukan untuk di dunia tetapi untuk ke akhirat. Kebanyakan masyarakat kita menggunakan harta di dunia untuk berhibur, berkaraoke dan berjudi dan sebagainya, yang ini silap. Ia merupakan kefahaman yang salah dalam kalangan kita.

“ALLAH SWT memberikan kita harta benda dengan tujuan untuk bersedekah, berwakaf dan berinfak,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Dusuki berkata, ALLAH SWT memberikan 15 ganjaran kepada mereka yang bersedekah antaranya umur yang panjang dan boleh menyebabkan kesembuhan penyakit yang dihidapi.

“Jika orang bersedekah, mudah-mudahan bala yang ALLAH SWT turunkan ini terangkat dengan sedekah yang kita lakukan,” katanya.

Tambahnya, konsep sampaikan zakat sekarang lebih kepada masyarakat mengecilkan kemiskinan bukan untuk menjadikan orang itu bertambah penagih terhadap bantuan.

“Alhamdulillah, zakat di Malaysia sudah berjaya dan banyak digerakkan termasuk wakaf yang merupakan instrumen baharu yang digunakan dalam masyarakat kita,” katanya.

Katanya, ALLAH SWT menjanjikan ganjaran lebih besar daripada apa yang kita berikan.

“Supaya kita tidak menyesal jika hampir mati, bersedekahlah sekarang untuk apa menyimpan di dunia yang terpaksa ditinggalkan, lebih baik hantar ke akhirat,” katanya. – SINAR HARIAN