Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Tular video buaya menggemparkan Pantai Port Dickson

PORT DICKSON – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dengan dakwaan kehadiran buaya di pantai nelayan Bagan Pinang di sini, pada Isnin.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, setakat pagi Selasa pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kewujudan buaya itu walaupun video mengenai haiwan tersebut sudah tular.

“Setakat ini tiada buaya ditemui di kawasan tersebut dan kita tidak dapat memastikan sama ada klip video yang tersebar itu adalah buaya atau sebaliknya kerana keadaan gelap selain rakaman diambil dari jarak jauh.

“Namun pemantauan akan dilakukan di kawasan tersebut bagi memastikan keselamatan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah Mohd Zamri, namun begitu orang ramai perlu berwaspada dan memberi maklumat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau terus menghubungi MPPD jika melihat kemunculan buaya di mana-mana lokasi di pantai Port Dickson.

Beliau berkata, aduan boleh dibuat menerusi Sistem Pengaduan Awam (SISPAA) di laman web MPPD atau menghubungi talian bebas tol 24 jam Perhilitan di 1800885151.

Semalam, satu video berdurasi 1.43 minit tular didakwa memaparkan kelibat buaya di pantai nelayan Bagan Pinang.