Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Suspek utama tetak pesara MARDI secara kejam ditahan

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu termasuk seorang suspek utama yang menetak mati bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong dalam serbuan berasingan di Setapak dan Semenyih hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ketiga-tiga individu ditahan dalam serbuan pada jam 3.30 pagi hingga jam 5 pagi di Jalan Genting Klang, Jalan Air Panas, Setapak dan Jalan Rinching di Semenyih.

“Siasatan awal ke atas suspek berusia 23 tahun yang ditahan di Jalan Rinching mendapati dia bertanggungjawab menetak mangsa dalam kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Huzir berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Sugu Thangarajoo berusia 27 tahun.

“Kita percaya dapat menyelesaikan beberapa siri kes samun didalangi kumpulan ini di sekitar Lembah Klang, susulan penahanan semua suspek berkenaan.

“10 individu yang ditahan polis Kuala Lumpur kelmarin ditahan reman sehingga 6 Disember bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi kelmarin, rumah dihuni Dr Wan Hassan dan isteri, Sarifah Yusof, 70, di Bukit Bandaraya, Bangsar dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta wang menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.