Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Rakaman seorang guru disamun oleh peragut bersenjata parang

‘Saya apa pun tak ada, tolong, tolong…’

Kuala Langat: “Saya apa pun tak ada, apa pun tak ada, tolong…” demikian rayuan seorang guru wanita sebelum dia terjatuh dan diragut seorang lelaki bermotosikal di kawasan rumah kedai dua tingkat di Eco Sunctuary, Telok Panglima Garang, di sini, 8.20 pagi, hari ini.

Bagaimanapun, peragut solo bersenjatakan parang itu diberkas polis selepas lapan jam meragut guru berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, suspek lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditangkap di Kampung Sijangkang pada 4 petang hari ini.

“Tangkapan dibuat susulan maklumat orang awam yang menghubungi polis dan menghantar video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan, rondaan, kemudian mengesan serta menangkap suspek di Kampung Sijangkang petang tadi,” katanya ketika dihubungi.

Azizan berkata, semasa tangkapan dibuat, polis hanya menemui sebahagian sahaja barang mangsa yang diragut.

Beliau berkata, beg tangan mangsa dipercayai dibuang dan siasatan lanjut masih diteruskan.

“Kejadian berlaku pada 8.20 pagi apabila mangsa berusia 51 tahun didatangi suspek semasa berada di tempat letak kereta tidak jauh dari tempat kerjanya di sebuah taska di situ.

“Menurut mangsa, sebuah motosikal bernombor BPC 6163 dinaiki seorang lelaki tidak dikenali datang ke arahnya dan mengacukan parang.

“Mangsa terjatuh sebelum suspek meragut beg tangan mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai dan ketika kejadian, wanita itu baru selesai meletakkan keretanya di kawasan parkir,” katanya.

Beliau berkata, polis ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mendapati, terdapat pengawasan CCTV di tempat kejadian.

Menurutnya, menerusi rakaman CCTV itu, polis mendapati suspek bertindak solo dengan menunggang motosikal bernombor pendaftaran BPC 6163 menggunakan senjata sebilah parang.

“Mangsa yang mengalami bengkak pada bahagian kepala, lebam di lengan dan lutut sebelah kanan serta sakit di bahagian atas paha kanan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Perintah reman akan dimohon di mahkamah esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, beberapa video kejadian terbabit tular di media sosial yang memaparkan situasi guru terbabit menjerit meminta bantuan serta cuba melarikan diri daripada suspek.

▶️Harian Metro