Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Radzi beri ‘tabik hormat’ kepada calon SPM 2020

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberi tabik hormat kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 atas keupayaan mereka menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh peperiksaan lalu.

“Apa saja keputusan yang anak (calon SPM) dapat hari ini, ingatlah anda adalah generasi yang hebat.

“Belum pernah ada mana-mana kohort Sijil SPM melalui dugaan, cabaran dan rintangan seperti mana calon SPM 2020.

“Tabik hormat pakcik untuk anak sekalian,” katanya sambil memberikan tabik hormat sebelum berakhirnya sidang media khas SPM 2020 secara maya, hari ini.

Dr Radzi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru dan ibu bapa yang memberi bantuan serta kerjasama kepada Kementerian Pendidikan (KPM) sepanjang perjalanan SPM 2020.

Meskipun terpaksa menutup sekolah dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Dr Radzi menjelaskan, semua pihak memainkan peranan serta melakukan yang terbaik.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada guru yang terbabit dalam proses melaksanakan SPM 2020.

“Ia bukan proses mudah buat petugas peperiksaan, guru bertugas hari peperiksaan dan terbabit pemarkahan serta mengajar calon SPM.

“Kepada ibu bapa, KPM juga mengucapkan terima kasih. Kami sedar tempoh ini amat mencabar dan kami tahu kami tidak sempurna, tetapi kami cuba laksanakan yang terbaik,” katanya.

Beliau juga meminta supaya ibu bapa terus memberi kerjasama dan kepercayaan kepada KPM dalam memberikan yang terbaik untuk pelajar ketika negara sedang berhadapan situasi mencabar susulan Covid-19.