Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

PRU15 MIC akan tuntut kerusi boleh menang dari UMNO

MIC akan menuntut kerusi-kerusi yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada UMNO bagi membolehkan mereka berada kembali di dalam kerajaan khususnya di negeri.

Presidennya, Tan Sri S Vigneswaran berkata, seperti mana dilakukan oleh MIC pada dua pilihan raya sebelum ini dengan menyerahkan kerusi milik MIC kepada UMNO, maka parti itu juga berhasrat untuk berbuat demikian pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, pada PRU14 lalu, UMNO juga tewas di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, maka pada PRU akan datang MIC perlu diberikan ruang bertanding di kerusi-kerusi boleh dimenangi.

“Kita memohon jasa baik UMNO juga kepimpinan negeri supaya memberikan kita satu kerusi yang boleh dimenangi supaya boleh bersama kerajaan ini (Perak) sebagai Exco kerajaan negeri.

“Permintaan kita ini bukanlah satu permintaan yang tidak waras. Oleh itu, kita akan membuat rayuan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), UMNO Pusat dan negeri supaya memberi kita satu kerusi yang boleh dimenangi,” katanya.