Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Penganalisa sifatkan desakan ‘Undur Zahid’ disebabkan terpalit banyak kes

Desakan undur diri ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya dibayangi beberapa sebab antaranya kerana kes mahkamah yang sedang dilalui Presiden UMNO itu.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, kes mahkamah sudah pasti akan mengheret reputasi dan nama baik UMNO yang bermasalah dan memberi kesan negatif terhadap keyakinan ahli-ahlinya terhadap kewibawaan parti tersebut.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia menjelaskan, prestasi UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid juga boleh dipersoalkan memandangkan beliau tidak mempunyai hala tuju untuk memimpin parti itu maju ke hadapan lebih-lebih lagi apabila UMNO akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi.

“Selain itu, pakatan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin DAP bagi merampas kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membuatkan ramai di kalangan pemimpin parti UMNO kesal kerana ia bertentangan dengan prinsip perjuangan parti tersebut.

“Hal yang sama juga berlaku di peringkat akar umbi yang memprotes kerjasama dengan parti-parti yang tidak sehaluan dengan UMNO,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

“Apabila PAS masih menaruh keyakinan terhadap Kerajaan PN membuktikan bahawa UMNO pimpinan Ahmad Zahid akan berjuang seorang diri tanpa PAS di sisinya sekaligus menunjukkan UMNO gagal mempengaruhi parti Islam itu untuk bersekongkol menyingkirkan PPBM,” katanya. – MalaysiaGazette