Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Pemuda PAS, NGO minta buka semula kertas siasatan Iki Putra

SHAH ALAM, 1 MAC 2021 – Petang tadi di Balai Polis Seksyen 6, Pemuda PAS Selangor bersama NGO CahayaCare dan NGO Geng Dakwah telah membuat laporan polis berhubung kes seorang lelaki yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan melakukan seks di luar tabii.

Peguam Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, bagi tujuan itu, pihak berkuasa boleh mendapatkan kertas siasatan dan bukti yang telah dijalankan sebelum ini.

Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki, Iki Putra Mubarak terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Iki Putra telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.

Oleh kerana tidak berpuas hati dengan pertuduhan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Seksyen 28 EJS 1995 dengan mendakwa negeri atau mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat. – MG