Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

PAS mahu UMNO buktikan semangat setiakawan

PAS hari ini mencabar Umno untuk membuktikan semangat setia kawannya sebagai rakan seperjuangan yang setia dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini selepas gabungan parti itu menyatakan tekad untuk membina penyatuan ummah.

“Buktikan setia kawan dengan menjadi kawan yang setia. Kita telah tekad untuk membina penyatuan ummah, mari kita buktikan.

“Pemimpinlah yang menggerakkan rakyat agar bersatu, bukan rakyat menyuruh pemimpin bersatu. Apakah ini sebahagian daripada norma baru? soalnya dalam satu hantaran di Facebook, petang ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian dipercayai merujuk surat Presiden Umno, Ahmad Zahid Hmaidi bertarikh 26 Feb yang menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya akan diteruskan sehingga pembubaran parlimen.

Umno mengesahkan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata oleh kerana Umno telah menyatakan kebersamaan Umno dengan kerajaan PN hanya akan diteruskan sehingga pembubaran parlimen adalah wajar untuk parti itu membuat kenyataan yang selari dengan kerajaan PN.

“Kalau kenyataan rasmi menyatakan sokongan kepada kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan, maka semua kenyataan lain mestilah selaras dengan pendirian kerajaan.

“Amat wajar semua parti komponen yang membentuk kerajaan PN memberi fokus bagi membantu rakyat dalam situasi yang penuh mencabar ini,” katanya.

Umno juga memeterai kerjasama dengan PAS menerusi gabungan Muafakat Nasional yang turut membabit parti-parti komponen BN.