Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Operasi bazar Aidilfitri dilanjut hingga 2 pagi

Kerajaan bersetuju memberi kebenaran kepada penjaja-penjaja bazar Aidilfitri untuk melanjutkan operasi perniagaan sehingga pukul 2 pagi berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan rayuan yang telah dikemukakan peniaga terlibat baru-baru ini.

“Keputusan mengenai perkara ini mengambil kira situasi pengunjung yang lazimnya mula mengunjungi bazar-bazar berkenaan selepas solat Isyak dan tarawih.

“Jadi dapat dilihat, waktu yang diperuntukkan sebelum ini amat terhad,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hari ini sidang mesyuarat kerajaan telah mendengar pembentangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri seperti solat Aidilfitri, ziarah kubur dan takbir raya dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, SOP tersebut sedang diperhalusi serta diperkemaskan dan akan diumumkan pada minggu hadapan. – K! ONLINE