Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Murid Tahun Satu maut digilis lori selepas terjatuh motosikal

Seorang murid Tahun Satu maut selepas terjatuh daripada motosikal  yang diboncengnya sebelum digilis lori di Kilometer 172 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Kampung Felda Neram di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Nur Rifqi Khairulamru meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.

Nenek dan sepupunya pula mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, motosikal yang ditunggang nenek mangsa berusia 59 tahun tergelincir sewaktu melalui  bahu jalan yang agak tinggi.

Keadaan itu dipercayai menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikal sebelum digilis sebuah lori membawa muatan arang batu yang datang dari belakang.

Motosikal itu kemudian hilang kawalan menyebabkan nenek dan sepupu mangsa turut terjatuh di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat manakala dua lagi yang lain dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya.