Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Mengaku mental elak ditangkap kerana tak puasa

KUBANG PASU: Seorang lelaki memberi alasan mempunyai masalah mental ketika ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) kerana tidak berpuasa dan merokok di sebuah restoran milik bukan Islam di Ayer Hitam, di sini semalam.

Pada operasi sempena Ramadan pada pukul 11 pagi itu, lelaki terbabit yang berusia 46 tahun dan seorang lagi warga emas berusia 80 tahun yang juga tidak berpuasa ditahan apabila cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa di restoran tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JHEAIK, Sheikh Radzi Abdul Muttalib berkata, lelaki itu juga didapati membuang puntung rokok sebelum ditahan oleh pegawai  penguat kuasa JHEAIK.

“Pada awalnya, lelaki itu mendakwa dia sedang mendapatkan rawatan di hospital kerana masalah mental.

“Bagaimanapun selepas disoal siasat lelaki itu hanya memberi alasan mempunyai masalah mental untuk dilepaskan,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, lelaki tersebut juga dilihat sudah beberapa kali berada di kedai makan itu pada Ramadan ini.

“Tindakan lelaki berkenaan bukan sahaja bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang malahan menjejaskan imej Islam pada pandangan orang bukan Islam,” ujarnya.

Jelasnya, kedua-dua lelaki itu terbabit diberikan notis supaya hadir di pejabat agama daerah untuk diambil keterangan pada tarikh yang ditetapkan. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana tidak menghormati bulan Ramadan