Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Lompat parti: Giliran siapa selepas Steven Choong dan Larry Sng?

Jika kita ingat balik, pada 18 Julai 2019, sekumpulan 28 pemimpin PKR telah mengeluarkan kenyataan membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa Datuk Seri Azmin Ali melepaskan jawatan dalam kerajaan sekiranya video Sandakan adalah tulen.

Kata mereka, berdasarkan penafian tegas Datuk Seri Azmin, Datuk Seri Anwar sewajarnya mempertahankan beliau demi memelihara muafakat utuh PKR dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan beliau dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh.

Daripada 28 pemimpin PKR ini, 15 adalah Ahli Parlimen, dengan 10 daripada mereka telah keluar parti bersama-sama Datuk Seri Azmin pada 24 Februari 2020 meninggalkan 5 yang lain kekal di dalam PKR bersama-sama Datuk Seri Anwar, iaitu:

  1. Datuk Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen P112 Kuala Langat
  2. Sivarasa Rasiah, Ahli Parlimen P107 Sungai Buloh
  3. Steven Choong Shiau Yoon, Ahli Parlimen P158 Tebrau
  4. Chan Ming Kai, Ahli Parlimen P009 Alor Setar.
  5. Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen P105 Petaling Jaya.

Hari ini Steven Choong telah keluar parti bersama-sama Larry Sng Wei Shien, Ahli Parlimen P209 Julau yang menang PRU 14 atas tiket BEBAS tetapi menyertai PKR pada 12 Mei 2018 dan mengetuai PKR Sarawak setelah Baru Bian keluar parti pada 24 Februari 2020.

Oleh itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebenarnya bila Steven Choong yang sebelum ini diketahui memang merupakan penyokong Datuk Seri Azmin keluar parti, apatah lagi Larry Sng yang sekadar kembali ke status asal beliau sebagai Ahli Parlimen BEBAS.

Yang sebenarnya memerlukan jawapan ialah mengapa Ahli-Ahli Parlimen seperti Datuk Dr Xavier Jayakumar, Sivarasa Rasiah, Chan Ming Kai dan Maria Chin yang sebelum ini diketahui memang merupakan penyokong Datuk Seri Azmin tidak keluar parti.

Masa sama tiada guna untuk pemimpin DAP seperti Ramkarpal Singh bersuara lantang meminta kerajaan mengharamkan perbuatan lompat parti sekarang kerana pemimpin PH telah diberikan peluang memerintah selama 22 bulan tetapi mereka mensia-siakannya.

Sebaliknya mereka bermaharajalela meraikan perbuatan lompat ke dalam parti mereka dan parti rakan mereka sehingga membolehkan Kerajaan PH ditubuhkan di Perak dan di Sabah selain membuatkan mereka mensasarkan untuk mendapat majoriti 2/3 di Parlimen.

Sudahkah mereka lupa bahawa Menteri dan Timbalan Menteri Undang-Undang mereka sendiri, iaitu Datuk Liew Vui Keong dan Hanipa Maidin, yang berulangkali menyebut di dalam dan di luar Parlimen bahawa Akta Anti Lompat Parti tidak boleh dilaksanakan?

Sudahkah mereka lupa bahawa Menteri dan Timbalan Menteri Undang-Undang mereka sendiri yang berulangkali menyebut mengenai keputusan Mahkamah Agung dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin bin Salleh & Anor pada 3 April 1992?

Ini keputusan tersebut: “Hak untuk meninggalkan parti politik dan menyertai parti politik lain adalah satu bahagian yang mustahak dalam hak asasi berpersatuan atau sekurang-kurangnya menyerupai sifat dan karakter asas yang sama dengan kebebasan berpersatuan.”

Kelakar sungguh rupanya pemimpin PH ini.

DR. KAMARUL ZAMAN HJ YUSOFF

PENSYARAH KANAN UUM