Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Larangan merentas negeri dikekalkan

Kerajaan kekal tidak membenarkan pergerakan rentas negeri berikutan ia merupakan satu daripada penyebab peningkatan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Covid-19 hari ini.

Beliau sedia maklum keputusan itu tidak disukai rakyat namun ia perlu diambil untuk menyekat penularan koronavirus.

“Sejak 20 Disember 2020 sehingga 20 April lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah merekodkan 38 kluster rentas negeri melibatkan 5,471 kes secara keseluruhan.

“Pada bulan ini sahaja, sebanyak tujuh kluster rentas negeri melibatkan 423 kes telah direkodkan dan kes tertinggi ialah  kluster Pasai dengan 2,693 kes merebak di beberapa kawasan di Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, kluster rentas negeri bukan sahaja menyebabkan penularan Covid-19 ke kawasan zon hijau malah aktiviti pulang ke kampung serta menghadiri majlis sosial turut meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.

Beliau berkata, mengambil contoh negeri Kelantan, sebanyak 10 kluster rentas negeri telah direkodkan sejak 7 Disember lalu dan sebahagian kluster tersebut masih ada sehingga kini dan telah menjangkiti beberapa generasi.

Ditanya sama ada Malaysia kini telah memasuki gelombang keempat penularan Covid-19, Ismail berkata, negara masih berada di gelombang ketiga fasa kedua berdasarkan trend kes yang terus menunjukkan peningkatan.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia telah menahan 159 individu atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 140 daripada mereka telah dikompaun manakala 19 lagi direman.

Sementara itu, melalui kawalan sempadan negara, Operasi Benteng telah berjaya menahan 56 orang pendatang asing tanpa izin dan merampas 10 buah kenderaan darat dalam operasi yang dilakukan di seluruh negara semalam. – K! ONLINE