Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Khemah peniaga bazar Meru terbang di landa ribut

KLANG – Tular video berdurasi 33 saat memaparkan khemah ‘terbang’ seperti layang-layang yang dilaporkan berlaku di sebuah bazar Ramadan di hadapan masjid Pekan Meru pada petang Khamis.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika azan Asar susulan angin kuat disusuli hujan lebat dan kilat seperti dikongsikan di Facebook Pekan Meru Klang.

Dalam entri berasingan, pemilik akaun Facebook sama turut memaparkan gambar selepas kejadian yang ada antara khemah itu terjatuh ke dalam sungai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pegawainya turun meninjau ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tersebut.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan sekurang-kurangnya tujuh peniaga terjejas teruk dalam kejadian tersebut.

“Saya akan turun ke lokasi pada malam ini bagi meninjau keadaan di bazar dan juga rumah penduduk terjejas disebabkan ribut.” Kita akan ambil maklumat mangsa dan berikan bantuan bersesuaian bagi meringankan beban mereka, ” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, seorang peniaga, Wan Mohd Zamri Wan Abdullah, 47 berkata, dia hanya sempat menjual nasi kerabu kepada dua pelanggan sebelum angin kuat datang menerbangkan khemah peniaga.

“Khemah saya tak terbang cuma tersangkut di pagar dan kakinya patah, manakala meja dah beralih hampir 10 meter.

“Mulanya memang berpaut nak elak khemah terbang tetapi keadaan angin yang terlalu kuat dan kilat menyebabkan saya ambil keputusan selamatkan diri bersama isteri dan anak berlindung dalam masjid,” katanya

Katanya, dia kerugian kira-kira RM300 dalam kejadian tersebut dan makanan yang masih elok disedekahkan kepada pelanggan yang berkunjung di bazar.