Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Keputusan SPM 2020 boleh disemak melalui Portal & SMS pada 10 Jun ini

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk tahun 2020 akan diumumkan pada 10 Jun 2021 (Khamis) bermula pukul 10.00 pagi.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, calon sekolah dan calon persendirian yang ingin membuat semakan keputusan SPM tersebut boleh menggunakan dua kaedah.

Semua calon boleh menyemak keputusan secara dalam talian di portal Lembaga Peperiksaan 

myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my.

Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 68886.

Namun perlu diingatkan bahawa perkhidmatan tersebut hanya akan diaktifkan mulai pukul 10.00 pagi pada 10 Jun 2021 sehingga pukul 6.00 petang pada 17 Jun 2021 sahaja.

Dalam pada itu, bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, KPM menyatakan bahawa pihak sekolah akan mengenalpasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

Bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenalpasti calon persendirian tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia