Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Jumlah dagangan agrikomoditi meningkat kepada RM88.3 bilion

PUTRAJAYA: Jumlah dagangan sektor agrikomoditi negara bagi tempoh Januari hingga April 2021 melonjak kepada RM88.3 bilion, iaitu RM34.2 bilion lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata bagi tempoh dikaji, nilai eksport sektor agrikomoditi berjumlah RM68.1 bilion atau 17.6 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Katanya, prestasi eksport agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021 sangat positif dengan lonjakan 66.5 peratus berbanding RM40.9 bilion bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan (eksport) ini disebabkan oleh kenaikan ketara harga agrikomoditi utama yang terus mencatatkan peningkatan harga purata sepanjang tempoh empat bulan terbabit.

“Bagi import pula, sektor ini mencatat RM20.1 bilion bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, manakala imbangan dagangan adalah sebanyak RM48 bilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, produk berasaskan getah menjadi penyumbang terbesar bagi eksport agrikomoditi dengan sumbangan sebanyak 43.9 peratus.

Beliau berkata, sektor terbabit terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatatkan peratusan peningkatan eksport sebanyak 175 peratus atau RM29.9 bilion.

“Peningkatan ketara eksport produk berasaskan getah adalah didorong oleh permintaan tinggi daripada sektor kesihatan di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, produk berasaskan sawit yang menyumbang 40.6 peratus kepada jumlah pendapatan eksport agrikomoditi telah mencatatkan peningkatan sebanyak 29.5 peratus iaitu RM27.6 bilion bagi empat bulan pertama tahun ini.

Bagi produk berasaskan kayu-kayan, katanya, ia yang menjadi penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan sebanyak 12.2 peratus kepada pendapatan eksport keseluruhan sektor agrikomoditi merangkumi nilai eksport sebanyak RM8.3 bilion, meningkat 29.2 peratus.

“Namun, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak 4.5 peratus kepada 7.2 juta tan berbeza pada tahun sebelumnya dalam tempoh yang sama iaitu 7.6 juta tan.

“Pendapatan eksport bagi produk koko dan lada masing-masing mencatatkan peningkatan. Pada tahun ini, nilai eksport produk koko adalah RM2.2 bilion dengan peningkatan 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Manakala, nilai eksport produk lada bagi tempoh berkenaan juga adalah RM42.1 juta iaitu

Mohd Khairuddin berkata, berdasarkan prestasi perdagangan sektor agrikomoditi bagi tempoh Januari hingga April 2021, prestasi perdagangan dijangka kekal positif sepanjang baki tahun 2021.

“KPPK juga percaya melalui suntikan dana tambahan oleh kerajaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan PEMERKASA+ akan merancakkan lagi momentum pembangunan industri agrikomoditi negara,” katanya.

Berita Harian