Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Isu Murtad: YADIM akan ledakkan jentera bagi memelihara kesucian Islam

Al Bayaanul Mubin. Siri 94
09 Rajab 1442 | 21 Feb 2021

Menyambut baik ketegasan YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YADIM akan meledakkan jenteranya bagi memelihara kesucian Islam dan Aqidahnya.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Yang DiPertua YADIM
https://m.facebook.com/bayaanulmubin

  1. Pengakuan seorang lelaki bukan Islam yang mendakwa telah memurtadkan seorang muslimah dan merancang untuk memudahcara kegiatan memurtadkan umat Islam dinegara ini sangat dikesali dan ianya jelas bertentangan malah mencabar peruntukan perlembagaan negara yang memberi jaminan mengenai kedudukan Islam di negara tercinta ini.
  2. Ketegasan YB Menteri Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam isu ini amat disambut baik, bahkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menggerakkan seluruh jenteranya diperingkat nasional dan juga negeri untuk membina benteng sekaligus menyemarak usaha dakwah ke arah mempertahankan aqidah dan pemikiran umat Islam.
  3. Gerakan riddah (usaha memurtadkan umat Islam) tidak boleh dipandang ringan. Selain daripada pihak berkuasa yang mengambil langkah menyiasat dan bertindak di atas peruntukan undang-undang sedia ada, YADIM akan berperanan untuk mengukuhkan kefahaman umat Islam terhadap agama dan cara hidup berpandukan petunjuk Allah swt.
  4. YADIM akan turut menggerakkan dua agensi pentingnya iaitu Majlis AMAL Islami Malaysia (MAIM) yang dianggotai oleh 280 NGO Islam dan juga Nadwah Ulamak dan Intelektual Islam YADIM (NUIM) untuk mendepani gerakan riddah dalam negara ini.
  5. Isu riddah (perancangan memurtadkan umat Islam) ini Insyaallah akan ditangani secara bersepadu antara YADIM bersama agensi agama yang lain termasuk JAKIM, Jabatan Mufti, Majlis Agama di negeri-negeri dan TV Al Hijrah, bahkan pihak berkuasa seperti PDRM bagi memastikan 2 aspek utama dapat ditangani dengan tuntas.

Aspek Pertama: Pemahaman dan pengukuhan aqidah Islamiah dan syariatnya dikalangan umat Islam

Aspek Kedua: Pemahaman dan kepatuhan seorang warga negara kepada peruntukan Perlembagaan khasnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di dalam negara ini. Serta Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang mengawal penyebaran iktiqad lain kepada umat Islam.

Melestari Gerakan Islam.