Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Harga enam jenis roti Gardenia naik bermula 1 Jun

SHAH ALAM – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) mengesahkan harga enam produk keluaran syarikat itu dinaikkan berkuatkuasa 1 Jun ini.

Pengurusan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, enam produk itu terdiri daripada Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread (200g); Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread (375g); Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread (200g); Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread (375g); Gardenia Auntie Rosie – Original Homestyle Kaya (200g) dan Gardenia Auntie Rosie – Natural Pandan Kaya (200g).

Menurut kenyataan itu, harga bagi produk-produk Gardenia yang lain masih dikekalkan dan GBKL akan terus menyerap kenaikan kos produk-produk tersebut.

“Antara bahan-bahan mentah yang mengalami kenaikan mendadak adalah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain lagi.

“Fokus kami tertumpu kepada usaha untuk terus mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang kami,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasi perkara tersebut.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna setia kami atas sokongan berterusan dan pertimbangan situasi sedia ada,” kata kenyataan itu.

Pada Sabtu, tular sepucuk surat berhubung perubahan harga produk keluaran syarikat itu berkuatkuasa pada 1 Jun. Sinarharian