Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Hamid Bador gagal selesaikan kes kematian Adib – PEMBELA

Kegagalan menyelesaikan kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sepatutnya menjadi penyesalan terbesar Tan Sri Abdul Hamid Bador sepanjang menjadi Ketua Polis Negara.

Menyingkap semula proses pembelaan ke atas Allahyarham Adib, Haji Aminuddin Yahaya berkata, Abdul Hamid sebelum ini seolah-olah menafikan keputusan Mahkamah Koroner dan hakikat kematian anggota bomba itu akibat dipukul.

Ini kerana, beliau pernah mencadangkan inkues kali kedua dibuat, meskipun Mahkamah Koroner memutuskan wujud elemen pembunuhan, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) itu.

“Saya tidak pasti apakah ini benar-benar pendirian beliau atau apakah ini pendirian politik yang beliau terpaksa ‘follow’ sahaja?

“Kita mahu tahu juga pendirian beliau yang sebenar memandangkan beliau kini sudah bersara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Haji Aminuddin menuntut penjelasan Abdul Hamid sama ada pendirian mengenai ‘inkues semula’ itu adalah daripada beliau sendiri atau pihak menteri.

“Jika Tan Sri Hamid Bador memilih untuk berdiam diri, tidak mengapalah.

“Kita boleh anggap itulah pendirian yang dibuat oleh beliau sendiri sebagai KPN dahulu dan rakyat akan ingat selama-lamanya,” katanya.

Abdul Hamid menamatkan kontrak perkhidmatan jawatan KPN semalam setelah dua tahun menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan menyerahkan posisi itu kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Justeru, sebagai KPN baharu, Haji Aminuddin mengharapkan Acryl dapat memberi penjelasan terkini mengenai pendirian PDRM terhadap persoalan kes kematian Allahyarham Adib.

“Apa pendirian PDRM terhadap ‘teori’ yang menyatakan Adib mati dilanggar? Apakah PDRM masih berpendirian agar inkues perlu dilakukan lagi, sekali gus menafikan keputusan Mahkamah Koroner?

“Kita amat berharap agar Datuk Seri Acryl dapat memberikan pencerahan semula dalam kes ini, kerana segala pendedahan Tan Sri Hamid Bador membuat kita ragu dengan segala apa yang berlaku dahulu terutamanya kes ini,” katanya.

Disember lalu, kerajaan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memberi keadilan buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Namun sehingga kini masih tiada tindakan lanjut, pembunuh Allahyarham juga masih belum ditemui.