Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Cabar Darurat: Anwar lebih pentingkan politik dari agenda rakyat kata Penganalisa

Seorang penganalisis politik berkata, tindakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar perisytiharan darurat akan memberi persepsi beliau lebih mementingkan agenda politik berbanding kebajikan rakyat.

Bekas ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, sehingga kini pembangkang gagal memberi cadangan lebih baik daripada apa yang dilakukan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dalam menangani penularan Covid-19.

Katanya, pembangkang sekadar mengkritik kerajaan tanpa sebarang cadangan susulan.

“Di AS, bila Joe Biden kritik Donald Trump dalam hal menangani pendemik, Biden ada beri cadangan alternatif. Itu yang diharapkan rakyat, iaitu cadangan alternatif pembangkang. Tetapi sayang, harapan itu tidak disambut Anwar, apakah pembangkang juga buntu dalam hal ini?” soalnya ketika dihubungi FMT.

Azmi melihat tindakan Anwar mahu mencabar perisytiharan darurat di mahkamah ibarat mencabar kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“Tetapi jika strategi merayu Agong (supaya darurat ditarik semula) digunakan, ini boleh diterima.”

Beliau bagaimanapun tidak menolak anggapan perisytiharan darurat mempunyai elemen politik, iaitu menstabilkan kerajaan yang diasak pembangkang secara berterusan.

“Darurat diisytihar, salahnya pembangkang juga yang diketuai Anwar kerana desakan supaya Muhyiddin letak jawatan.

“Mengapa tidak dibawa isu sama ketika pilihan raya kecil Batu Sapi dan Gerik diisytihar darurat kerana hujahnya darurat dua kawasan Parlimen itu dan darurat terkini adalah sama, iaitu tidak mahu memburukkan lagi pandemik jika pilihan raya diadakan.”

Anwar baru-baru ini dilaporkan menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menarik balik perisytiharan darurat dan Parlimen segera bersidang sebelum 31 Jan ini.

Pada 12 Jan lalu, Sultan Abdullah mengisytiharkan darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikurangkan.

Sehari sebelum itu, kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan di beberapa negeri, sebelum ia diperluaskan ke seluruh Semenanjung.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pakej bantuan perlindungan ekonomi dan rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan serta melindungi ekonomi negara, susulan pelaksanaan semula PKP. – FMT