Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

Broken English, broken heart – Syahir Sulaiman


.
Saya bersimpati dengan nasib seorang guru Sains di saluran DidikTV yang dikecam dan ‘dibuli’ oleh warga netizen, hanya kerana beberapa kesilapan sebutan Bahasa Inggeris.
.
Mujurlah guru tersebut cekal dan berjiwa besar, manakala si DJ yang ‘melampau’ itu telah memohon maaf atas keterlanjurannya.
.
Untuk fasih bercakap Bahasa Inggeris, apatah lagi secara ‘live’ di khalayak bukanlah mudah. Kepada yang mampu diucapkan tahniah, kepada yang tidak mampu janganlah diperlekeh dan dipersalah.
.
Pengalaman saya di sekolah, kami belajar Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, namun pergaulan sesama Melayu menyukarkan untuk fasih bercakap bahasa asing, walaupun mampu lulus cemerlang dalam peperiksaan.
.
Syukurlah ketika di UIA, kami bergaul dengan rakan dari segenap pelusuk dunia, menjadikan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi di dalam kelas, program dan aturcara, termasuklah khutbah Jumaat pelbagai bahasa.
.
Seterusnya ketika bekerja, kebanyakan bos dan rakan pejabat saya berbangsa bukan Melayu – Inggeris, Cina, India, dan Iban – memberikan saya peluang dan persekitaran untuk bercakap Bahasa Inggeris. Seingat saya, tidak pernah saya diketawakan jika tersilap ‘grammar’ dan sebutan, namun ditegur dengan baik dan diperbaiki kesalahan.
.
Kini tugasan saya jauh berbeza, banyak menggunakan Bahasa Melayu dalam percakapan, manakala Bahasa Inggeris terhad dalam pembacaan dan penterjemahan, khususnya ketika TG menerima kunjungan Duta atau mengiringi TG ke luar negara.
.
Penterjemahan spontan agak mencabar kerana perlu menguasai aspek ‘textual & contextual’, supaya mesej yang ingin disampaikan difahami sebaiknya. Indikator saya, jika TG bercakap dengan serius, Tuan Duta juga bercakap dengan serius, dan ketika TG berseloroh, Tuan Duta juga boleh berseloroh.
.
Justeru hargailah kebolehan dan kelemahan sesama kita. Ada yang mampu bercakap, ada yang mampu menulis, ada yang mampu bekerja. Kita saling memerlukan dan saling melengkapi.
.
Kita bukan sekadar perlu menguasai bahasa, tetapi hendaklah sentiasa berbudi bahasa.
.
SS, suka mengembara, belajar berbahasa 😊
.
*Kenangan di Istanbul, belajar budaya, belajar bahasa.