Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

ADUN Teratai keluar DAP jadi wakil rakyat bebas

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong mengesahkan dirinya telah keluar daripada parti DAP dan kini menjadi wakil rakyat bebas.

Bryan berkata, surat peletakan jawatannya telah dihantar kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Khamis.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas masalah peribadi dan menafikan ditawarkan imbuhan ‘lompat parti’ daripada mana-mana parti politik.

“Saya ada masalah peribadi namun bukan masalah disiplin dan salah laku dalam parti atau terlibat jenayah. Atas dasar sayangkan DAP, saya ambil keputusan keluar parti kerana tidak mahu masalah saya memberikan imej buruk kepada DAP.

“Saya akan terus menyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) sebagai ADUN bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Tidak timbul isu saya menjadi ADUN bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional seperti dakwaan pihak tertentu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, peletakan jawatan beliau sebagai wakil DAP juga telah dimaklumkan kepada Pengerusi DAP Malaysia, Tan Kok Wai, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke.

“Pengunduran saya sebagai wakil rakyat PH di Selangor tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri kerana PH mempunyai majoriti kerusi yang besar di Selangor,” katanya.

Bryan sebelum ini juga telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Setiausaha Organisasi DAP Selangor sebelum mesyuarat jawatankuasa parti yang bersidang pada Jumaat meluluskan permohonan tersebut.