Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

ADUN Melor, Yusnan Yusof meninggal dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof dilapor meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi di rumahnya di Ketereh.

Allahyarham meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung, lapor portal HarakahDaily.net.

Arwah yang pernah mendapat rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dilapor terjatuh sebelum sempat ke bilik air ketika bangun dari tidur awal pagi tadi, kata Setiausaha DUN Melor, Tanazi Ariffin sepertimana dilapor portal tersebut.

“Bagaimana ketika mendapat susulan beberapa bulan lepas doktor mengesahkan keadaan jantungnya didapati baik. Malah semalam arwah hadir ke pejabat seperti biasa.

“Arwah menyiap urusan pembayaran skim takaful kifallah untuk warga emas di Dun Melor yang meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.net.

Berita kematian Md Yusnan disahkan anak Allahyarham, Mohd Auzaie di akaun Facebook.

“Dukacita dimaklumkan bahawa baba, Dr Yusnan sudah pergi menghadap Ilahi jam 2.28 pagi.”Mohon doakan arwah ditempatkan di kalangan para solihin.

“Insya-Allah solat jenazah akan diadakan jam 2 petang di Masjid Ketereh.”Mohon kepada semua untuk patuh prosedur operasi standard (SOP).”

Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di mussala berhampiran rumahnya selepas solat Jumaat hari ini.

Arwah meninggalkan seorang isteri Ustazah Romaini Daud dan enam anak.