Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

30 dalil singkir Zahid kini tular

Perbezaan pandangan dalam Umno membabitkan pendirian parti – sama ada menyokong Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya – kini dikatakan semakin parah sehingga ada usaha digerakkan untuk menyingkirkan presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut sumber antara langkah yang diambil dalam perseteruan dalaman itu ialah kempen propaganda bertulis yang disasarkan khusus terhadap Ahmad Zahid dengan menjadikan peribadi ahli parlimen itu sebagai asasnya.

Buku terjudul 30 Dalil Mengapa Ahmad Zahid Perlu Letak Jawatan Sebagai Presiden Umno itu dikatakan sudah beredar dalam kalangan ahli Umno sama ada dalam bentuk cetakan atau digital.

Ia didakwa mula tersebar sejak bulan lalu.

Antara isu yang dibangkitkan dalam buku itu ialah kes-kes mahkamah Ahmad Zahid, rekod buruk dan kegagalan Umno dalam beberapa pilihan raya kecil sejak dia menjadi presiden dan penghijrahan ahli parlimen Umno ke parti lain.

Turut dijadikan ‘dalil’ ialah dakwaan Ahmad Zahid juga mengadakan kerjasama dengan DAP.