Shah Alamku

Berita Semasa, Artikel dan Video Politik Shah Alam

22 bazar Ramadhan diarah tutup

Sebanyak 22 bazar Ramadan di seluruh negara diarahkan tutup berkuatkuasa Sabtu berikutan penularan Covid-19.

Menerusi surat edaran yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zainal Abidin Abu Hassan memaklumkan, ancaman penularan Covid-19 hasil analisa pengesanan kontak (contact tracing) yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

Bazar Ramadan itu melibatkan empat di Johor iaitu Bazar Ramadan Belatuk Taman Scientex, Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching, @Mart Kempas dan Lok Heng.

Surat itu turut menyenaraikan tiga bazar Ramadan di Kedah iaitu Taman Selasih, Baling 2021, dan Kupang 2021 sementara dua di Pahang yang membabitkan Lurah Semantan serta Temerloh Jaya.

Turut tersenarai, bazar Ramadan Jalan Setiawangsa dan Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur serta Bazar Nenas Kampung Selabak di Perak termasuk dalam senarai tersebut.

Sementara itu, KPKT dijangka akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perkara itu.